Thursday, December 18, 2008

Pas dapatkan pandangan 'bloggers' tentukan calon

Pas dapatkan pandangan 'bloggers' tentukan calon

KUALA TERENGGANU - Pas akan menilai pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penulis blog sebelum menentukan calon bertanding pada pilihan raya umum, 17 Januari depan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan calon yang benar-benar sesuai, adalah faktor yang paling penting dalam usaha mereka merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita akan lihat semua termasuk pandangan daripada penulis blog, malah surat layang juga kita akan lihat sebelum menentukan calon,” katanya ketika ditemui di luar dewan selepas hari ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Abdul Hadi, yang baru pulang mengerjakan ibadah haji dua hari lepas berkata, pada masa ini, pihaknya sedang membuat penelitian rapi terhadap calon yang boleh mendapatkan sokongan pengundi di Kuala Terengganu.

“Kita sedang tunggu laporan daripada Pas cawangan, kawasan dan negeri. Kajian terperinci perlu dilakukan bukan sahaja di kalangan penyokong Pas, malah masyarakat keseluruhan di Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah bandar raya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi.

Abdul Hadi berkata, Jawatankuasa Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat khas di sini, Sabtu ini dan agenda utama adalah membincangkan soal calon.

“Selepas nama calon dipilih, kita akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

-BERNAMA

No comments:

have fun