Thursday, January 15, 2009

Wan Farid 'takut': Debat royalti minyak batal - HARAKAH DAILY

Khairul Azlam Mohammad
Thu | Jan 15, 09 | 10:06:36 am MYT

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Hrkh)- Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) melahirkan rasa dukacita ekoran tindakan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang gagal memberi sebarang respon terhadap undangan menyertai 'debat royalti'.

Mengikut perancangan asal Mampat akan menganjurkan Debat Perdana bertajuk 'Royalti: Antara Hak dan Maruah Rakyat Terengganu' yang akan diadakan malam ini.

Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata surat jemputan undangan sebagai salah seorang ahli panel debat tersebut telah dihantar kepada Pejabat Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu pada 12 Januari 2009.

"Kami rasa dukacita dan kesal kerana langsung tidak mendapat 'respon' dari pihak Umno terutama calon BN.

"Saya sendiri yang hantar ke Pejabat Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu," katanya pada sidang media di Lobi Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, dekat sini, hari ini.

PAS Terengganu yang pernah menerajui kerajaan negeri antara tahun 1999 hingga 2004 pernah menghadapi saat getir apabila hak mendapat royalty disekat serta 'dirampas' oleh kerajaan pusat.

Berikutan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS ketika itu bertindak menyaman pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan kerana didakwa melanggar perjanjian serta Akta Petroleum 1974.

Kini, pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Terengganu telah membangkitkan semula isu tersebut apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menyerahkan sejumlah wang RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Dato� Ahmad Said pada akhir Disember 2008 lalu.

Antara ahli panel yang dicadangkan pada debat tersebut iaitu Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut dengan Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Manakala, pengerusi Debat Perdana itu akan dikendalikan oleh seorang Dekan Universiti Malaya, Profesor Dato' Paduka Dr Muhammad Bakar.

Mohamad Fauzi berkata, rasional debat royalti itu diadakan bagi memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada bakal Ahli Parlimen menjelaskan pendirian dan komitmen masing-masing terhadap isu tersebut.

"Kita mahu isu royalti terus dibela kerana ia (royalti) adalah hak rakyat dan kedua-dua pihak boleh berhujah untuk menjelaskan kekeliruan kepada rakyat," ujarnya.

Katanya, agenda 'Debat Perdana' yang dicadangkan itu kini telah menjadi pentas baru bagi negara-negara maju menampilkan calon kepimpinan yang bakal bertanding. - azm _



No comments:

have fun