Thursday, January 15, 2009

Rakyat Terengganu boleh ajar Najib gigit jari - harakah daily

Mohd Nor Yahya
Thu | Jan 15, 09 | 8:32:49 am MYT

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Hrkh) - Lusa, yang bakal menjelang ditunggu dengan penuh debar. Petugas dan penyokong parti yang bertanding antara mereka digamit resah.

Mencari pemenang dalam perjuangan dan hala tuju masa depan negara. Bukan sekadar calon yang bertanding ditentukan oleh SMS atau undian di laman-laman web.

Lebih 80,000 rakyat akan membuat penentuan di antara parti yang sarat dengan rasuah dengan parti yang memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat.

Sebaliknya rakyat Terengganu khususnya di empat Dun iaitu Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam dan Bandar kini sudah pun bersedia dan boleh tidur lena.

Mereka tidak lagi perlu memikirkan siapa pilihan hati di antara calon Barisan Nasional (BN), Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon PAS, Haji Mohd Abdul Wahid Endut.

Bagi memberi petua kepada bakal pengundi yang masih terkial-kial, tengok calon mana mudah diajak berunding dengan masam mencuka seperti langit mendung hendak hujan.

Dengan platformnya sebagai bekas senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, sekali lagi Wan Farid dikaitkan dengan kehadiran polis kira-kira 6,000 anggota.

Begitu juga dengan peristiwa Batu Buruk dua tahun lalu, dipalit sama dengan nama bekas senator tersebut.

Kehadiran polis yang 'amat ramai' setidak-tidak mengundang pelbagai andaian. Kata seorang pakcik seolah-olah disini ramai penjenayah.

"Pakcik agak malu dengan kehadiran ramai polis di sini seolah-olah menggambarkan suasana tidak aman di Kuala Terengganu," kata Haji Seman Salleh, 65 dari Kuala Ibai.

Sebelum ini, mana-mana pilihan raya umum mahu pun kecil, pihak polis tidaklah sebegitu ramai dikerah bertugas.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang penuh persaingan sengit pun tidaklah sebegini. Apakah semuanya ini ada hubung kait dengan penyalahgunaan kuasa tokoh tertentu - gomel ramai penduduk di sini.

Kehadiran berulang kali Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak juga tidak kurang mengundang resah.

Kehadiran Najib tidak digemari pemimpin Umno yang menjadi penyokong setia Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sudah kelihatan pertembungan dalam senyap kedua-dua tokoh itu. Seorang pemimpin Umno dari Pahang tanpa segan memberitahu pilihan raya kecil Kuala Terengganu menjadi kayu ukur bagi menilai prestasi Najib.

"Tidak mustahil pelan peralihan kuasa pada Mac depan bertukar strategi, rekod kecemerlangan Najib terus lebur selepas Permatang Pauh," katanya.

Najib juga mulai pening apabila ada desas desus penyokong Dato' Seri Idris Jusoh akan bungkus tikar bantal dan pulang menjelang sabtu ini.

Khabarnya, mereka akan bertindak bagi memprotes Dato' Ahmad Said yang telah mengaibkan Idris sebelum ini.

Apa yang berlaku sekarang menyebabkan Timbalan Perdana Menteri terpaksa berkampung di Kuala Terengganu.

Keluar masuk kampung siang dan malam bagi memberi sokongan padu kepada calon yang bukannya menjadi pilihannya.

Kasihan anak Tun Razak itu yang terpaksa bekerja dalam paksa.

Ini kerana kegagalan calon BN dalam pilihan raya kecil ini akan menjadi mimpi ngeri buat Najib, di saat-saat beliau bakal menduduki kerusi nombor satu Mac depan.

Biar apa pun beruntunglah warga Kuala Terengganu, bila mati saja wakil rakyat, pak menteri sibuk menabur janji pembangunan.

Kini, terpulanglah kepada warga Kuala Terengganu untuk membuat penentuan. Silap haribulan, Ahmad Said dan Idris Jusoh gigit jari. - mj _

No comments:

have fun