Jan 8, 09 3:05pm |
Kerajaan negeri Selangor akan menghantar misi bantuan kemanusiaan yang akan berpangkalan di sempadan Mesir untuk memberi bantuan perubatan dan sosial kepada penduduk Gaza. Keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor semalam. "Misi ini akan diterajui oleh Yayasan Amal yang merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman luas dalam melaksanakan misi bantuan ke seluruh dunia. "Segala bantuan yang diberikan dalam misi ini akan dibiayai oleh kerajaan negeri," kata kenyataan pejabat menteri besar Selangor. Menurutnya, kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat turut melahirkan rasa sedih di atas penderitaan rakyat Palestin di Gaza akibat serangan oleh rejim Israel. Sementara itu, satu perhimpunan bantahan dan solat hajat membantah kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza, akan diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Baru esok. Timbalan Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru (PPKPM), Mohamad Nadzri Abdul Hamid berkata, satu tabung juga akan dilancarkan untuk mengutip derma bagi membantu mengurangkan penderitaan penduduk Gaza. Beliau berkata, pihaknya juga akan mengedarkan pelekat kepada orang ramai sebagai tanda sokongan kepada penduduk Palestin. Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut mengecam sekeras-kerasnya operasi ketenteraan rejim Israel dan sekutu-sekutunya di Gaza. PKPIM turut menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya diadakan sidang tergempar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk dan menghentikan kekejaman Israel terhadap Gaza. PKPIM juga turut mendesak agar kerajaan menamatkan segera sebarang usaha ke arah Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu Rejim Israel. "Ini adalah langkah perlu untuk menunjukkan ketegasan Malaysia di dalam mengutuk rejim Israel dan negara-negara sekutunya di atas kezaliman dan kekejaman berpanjangan terhadap Palestin," katanya dalam satu kenyataan. |
Thursday, January 8, 2009
K'jaan S'gor hantar misi bantuan ke Gaza - malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment