Monday, January 19, 2009

GMP tolak tanggapan sokong pembangkang di KT - MALAYSIAKINI


Jimadie Shah Othman | Jan 19, 09 3:19pm
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menolak tanggapan bahawa mereka berkempen untuk membantu calon pembangkang apabila membawa bantahannya terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PSSMI) ke medan pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Khamis lalu, GMP menyerahkan memorandum bantahan terhadap dasar tersebut kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sewaktu kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Setiausahanya GMP, Hasni Abas berkata, ini kerana pendirian PAS selari dengan hasrat GMP yang memperjuangkan pemansuhan PPSMI.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni berkata secara kebetulan sahaja parti itu mendapat manfaat daripada kempen GMP.

"Kita buat petisyen untuk semua (PKR, PAS dan Umno). Kita hendak serah juga pada Umno tetapi mereka tidak memberi respons. Kalau mereka (Umno) senada dengan kita, kita akan sokong," kata Hasni.

Beliau merujuk kepada kegagalan GMP menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan wakil Umno Khamis lalu - dua hari sebelum pilihanraya kecil Kuala Terengganu berlangsung.

Dalam pilihanraya kecil itu, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihanraya kecil parlimen itu dengan majoriti 2,631 undi. Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Hasni ketika ditanya komitmen terkini pembangkang setelah menerima memorandum itu, berkata: "Ianya positif, berdasarkan komen-komen pemimpin mereka pada hari itu (Khamis).

Mesyuarat di SUK S'gor

"(Ketua umum PKR) Datuk Seri Anwar berkata, kalau Pakatan memerintah, dasar itu akan dimansuhkan. Mohd Abdul Wahid (ahli parlimen baru Kuala Terengganu) juga berjanji akan mesyuarakan isu ini di parlimen," kata Hasni.

Malam esok, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Hassan Ahmad akan mempengerusikan mesyuarat membincangkan tindakan susulan kempen mereka.

Menurut Hasni, mesyuarat tersebut akan diadakan di pejabat bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam.

Diminta mengulas cakap-cakap bahawa kerajaan akan memansuhkan pelaksanaan dasar itu di sekolah rendah, tetapi diteruskan di peringkat sekolah menengah, Hasni berkata:

"Kita mahu keseluruhan (peringkat) dimansuhkan. Kita mahu semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dikembalikan. Mereka kena faham, takkan kuasa menteri boleh melebihi perlembagaan."

Sejak diputuskan dalam mesyuarat khas kabinet pada Julai 2002, pelaksanaan penuh PPSMI dijalankan pada 2007 untuk peringkat sekolah menengah, sementara di peringkat sekolah rendah ialah pada tahun 2008.

GMP dianggotai sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang bagi menuntut pemansuhan dasar PPSMI.

Gabungan itu mencetuskan kegemparan apabila merancang melancarkan perhimpunan raksasa ala-Bersih Mac ini untuk menyerahkan memorandum memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu tersebut.

No comments:

have fun