Sunday, January 11, 2009

Doing a Gaza - by hamba allah

“If somebody was sending rockets into my house where my two daughters sleep at night, I would do everything to stop that and would expect Israel to do the same thing.”

Itu kata-kata Barrack Obama, bukan George W Bush; di bandar Sderot yang terletak di kawasan selatan Israel dan merupakan sasaran utama roket-roket Hamas.

Jika kamu tinggal di Johor Bahru dan setiap malam ditembak roket oleh Singapura, apa yang kamu akan buat?

Kamu tidak akan buat apa-apa, kecuali menuntut pada pihak kerajaan kamu untuk melakukan sesuatu bagi menghentikannya. Dan kerajaan kamu (yakni kerajaan Malaysia) akan mengerahkan tenteranya untuk menyerang balas.

Itu pun jika kerajaan kamu dan tenteranya ada telur.

Tetapi kerajaan Israel dan bala tenteranya memang bertelur. Walaupun ada di antara mereka di luar sana yang dengan sinis akan berkata, “Oh, menentang penduduk Palestin yang tidak lengkap bersenjata, memanglah berani.”

Sebuah negara Yahudi dengan lebih sedikit dari 7 juta rakyat di tengah dunia Arab dengan populasi hampir 340 juta orang. Pernah pula beberapa kali berperang dengan jiran-jiran Arab mereka dan memenangi sebahagian besar peperangan itu.

Hakikatnya Israel memang berani dan mereka akan melakukan apa saja demi kelangsungan hidup negara Israel itu sendiri.

Yang tidak berani dan tidak bertelur ialah negara-negara Arab yang hanya tahu untuk bersidang di dalam Liga Arab sambil minum teh pudina dan kemudian mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel.

Juga yang tidak berani dan tidak bertelur ialah negara-negara Islam bukan Arab yang hanya tahu menekan negara-negara Arab untuk melakukan sesuatu atau mengajak negara-negara Arab itu untuk bersidang pula dalam OIC sambil minum teh tarik (jika ianya dianjurkan di Putrajaya).

Kemudian mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel.

Kecuali Malaysia barangkali, yang telah bertindak untuk mendermakan sekurang-kurangnya USD1 juta kepada Palestin, menyeru diadakan sidang tergempar PBB dan mahu memboikot produk atau jenama dari Amerika Syarikat.

Tetapi sidang tergempar PBB akan hanya melibatkan para perwakilan berhimpun di New York, bersidang dalam dewan dan kemudian makan minum. Mereka juga akan menginap di hotel-hotel mewah dan pergi berjalan atau membeli-belah di sekitar kota New York ketika waktu lapang.

Kemudian membentangkan resolusi mengutuk kekejaman Israel. Resolusi gencatan senjata belum tentu dapat diluluskan, kerana ianya kemungkinan besar bakal diveto oleh Amerika Syarikat.

Begitu juga seruan memboikot produk atau jenama Amerika Syarikat. Ini kerana kita belum ada restoran makanan segera dari Arab Saudi atau minuman berkarbonat dari Mesir. Apatah lagi perubatan, perkakasan berteknologi tinggi, jentera, perisian komputer dan sebagainya.

Jika kita mahu boikot dengan betul, kita akan terbantut. Malaysia akan berhenti berfungsi sebagai sebuah negara. Ini kerana negara-negara di dalam Liga Arab atau OIC yang menjadi saudara kita tidaklah bijak dalam perkilangan atau pembuatan. Jadi boikot kita hanyalah retorik semata-mata.

Alasan Israel untuk menyerang Gaza ialah kerana mereka mahu memusnahkan keupayaan ketenteraan Hamas di Gaza. Israel mahu serangan roket Hamas ke atas Israel dihentikan dan satu-satunya cara mereka dapat menghentikan serangan roket ini ialah dengan tindakan ketenteraan mereka sendiri.

Lalu Israel dilabelkan sebagai berlaku kejam ke atas Palestin.

Maka serangan roket Hamas sebelum ini mungkin satu friendly gesture barangkali?

Dan perasankah kita serangan Israel setakat ini hanya terhad di Gaza sahaja?

Sedangkan Palestin itu terdiri dari Gaza dan Tebing Barat. Dua wilayah yang terpisah dengan Israel terletak di antara mereka.

Bezanya Gaza diperintah oleh Hamas yang radikal sementara Tebing Barat di bawah kuasa Fatah yang lebih sederhana. Ini semua bertitik tolak dari pilihanraya Palestin tahun 2006 dulu bila Hamas melakukan kejutan dan menguasai parlimen dari Fatah yang merupakan parti pemerintah sebelumnya.

Fatah, yang memilih perdamaian dengan Israel sekaligus mendapat sokongan rejim Tel Aviv itu bersama sekutu Amerika Syarikat mereka cuba untuk menafikan kemenangan pilihanraya Hamas dan klimaks dari konflik antara dua parti Palestin ini ialah Pertempuran Gaza pada Jun 2007. Kesan dari peristiwa ini Palestin terpecah dua, Gaza di bawah Hamas dan Tebing Barat di bawah Fatah.

Rata-rata umat Islam melihat konflik Fatah-Hamas ini sebagai satu pengkhianatan ke atas Hamas yang mendapat mandat rakyat Palestin sementara Fatah pula dilihat sebagai boneka Israel dan Amerika Syarikat. Tebing Barat kekal aman dan makmur sementara Gaza menerima berbagai sekatan dari Israel.

Hakikatnya, bukan Israel saja yang memberi tekanan kepada Hamas di Gaza. Negara-negara Arab juga turut terlibat dalam usaha untuk melemahkan Hamas melalui tekanan politik dan juga sekatan ekonomi.

Pendek kata, tidak ada sebuah pun negara Arab yang mahukan sebuah Palestin mengikut acuan Hamas. Ya, siapa yang mahukan sebuah negara yang dikuasai pengganas? Pastinya Dinasti Saud di Arab Saudi tidak dapat tidur sekatil dengan pergerakan revolusi rakyat seperti Hamas. Begitu juga junta sosialis Ba’ath di Syria, monarki Hasyimiyah di Jordan mahupun puak nasionalis NDP di Mesir. Tiada satu negara Arab pun yang mahukan kewujudan Palestin versi Hamas dalam dunia Arab mereka.

Oleh sebab itu, ketika Israel meneruskan operasi ketenteraan mereka di Gaza, Mesir yang bersempadan dengan Gaza memilih untuk menutup sempadan mereka dan berpeluk tubuh membiarkan rakyat Palestin di Gaza menderita.

Negara-negara Arab sebenarnya redha pada tindakan Israel ke atas Gaza. Mereka redha rakyat Palestin di Gaza dijadikan korban demi untuk menghancurkan entiti politik bernama Hamas yang dilihat sebagai ancaman kepada status-quo politik dunia Arab.

Mungkin hakikat sebenarnya ialah bukan kerana negara-negara Arab dalam sidang Liga Arab tidak berbuat apa-apa kerana tidak bertelur dan pengecut, sebaliknya tindakan mereka berpeluk tubuh ialah kerana mereka mahu Israel menghancurkan Hamas.

Salahkah Mesir, Arab Saudi dan negara Arab lain bila mereka membiarkan nyawa rakyat Palestin menjadi taruhan kepentingan politik mereka?

Sedangkan ketika Pertempuran Gaza pada Jun 2007 dulu, Hamas dalam usaha mereka mengusir Fatah keluar dari Gaza telah menjadikan ratusan rakyat Palestin sebagai mangsa cita-cita politik mereka. Begitu juga dengan krisis Gaza yang berlaku sekarang, Hamas mempergunakan orang awam sebagai perisai manusia sekaligus menjadi faktor betapa ramainya orang tua, perempuan dan kanak-kanak yang menjadi korban serangan Israel.

Maaf kepada para pembaca beragama Islam di luar sana. Maaf jika aku mengecewakan semangat jihad Islamik kamu atau membuat kamu marah. Tapi inilah realitinya, tiada apa-apa yang holy atau suci dalam konflik Palestin ini. Hanya permainan politik di antara kuasa-kuasa yang terlibat.

Dan permainan politik itu tidak terhad di Palestin atau sekitar dunia Arab sana. Malah di Malaysia ini juga isu Palestin dijadikan permainan politik. Kenapa agaknya media massa setiap kali melaporkan protes atau perhimpunan yang melibatkan Barisan Nasional mereka menyebut “protes yang diketuai Barisan Nasional’ atau ‘perhimpunan anjuran UMNO’ tetapi bila melaporkan protes atau perhimpunan melibatkan PAS, ianya sekadar disebut ‘protes atau perhimpunan oleh badan-badan NGO di Malaysia’?

Isu Palestin juga boleh dijadikan bahan propaganda memancing undi nampaknya.

Sebenarnya, apa yang negara-negara dan orang-orang Arab atau Islam mahukan sebagai penyelesaian kepada isu Palestin ini?

Perdamaian antara Palestin dan Israel yang juga meliputi konsep kewujudan kedua-dua negara? Atau kewujudan sebuah negara Palestin dari kehancuran Israel?

Jika perdamaian dan kewujudan bersama yang kita cari maka mungkin kita perlu memaksa Hamas untuk menghentikan sikap agresif mereka terhadap Israel dan menggalakkan usaha damai antara Hamas dan Fatah. Kembali semula kepada pelan damai dan berusaha ke arah penubuhan negara Palestin yang boleh hidup bersama Israel sebagai jiran, biarpun ianya mengambil masa yang lama. Pastinya Israel juga wajib memberikan komitmen yang serupa, mungkin berhasil jika Israel merasakan tiada mana-mana puak politik dalam Palestin yang agresif terhadap Tel Aviv.

Atau jika pilihan kita ialah kehancuran Israel dan kebangkitan Palestin yang merdeka sepenuhnya, buatlah satu sidang Liga Arab atau OIC, kemudian berikan satu perisytiharan perang bersama ke atas Israel dan sekutu-sekutunya. Rata-rata umat Islam yakin dengan janji yang telah termaktub, bahawa Yahudi itu bangsa yang dilaknat oleh Tuhan dan harinya akan tiba bila bala tentera Islam menakluki Israel dan menyembelih setiap Yahudi yang lalu di depan mereka.

Jadi, tunggu apa lagi? Ini jalan pintas ke syurga. Mati syahid ialah tiket kamu ke syurga. Biar kamu banyak dosa, tapi jika kamu sanggup meletupkan diri kamu di dalam sebuah bas yang penuh dengan Yahudi Zionis, kamu pasti masuk syurga. Bukan aku yang bagi fatwa, tapi Hamas.

Dan aku yakin Hamas akan menerima dengan tangan terbuka sambil berkata ‘syukran’ jika kamu mahu jadi sukarelawan mati syahid mereka.

Atau semuanya hangat-hangat tahi ayam? Di sebalik keghairahan memijak dan membakar bendera Israel atau Amerika Syarikat umat Islam sebenarnya ragu-ragu sama ada bermatian untuk menghancurkan Israel itu adalah sesuatu yang berbaloi untuk mereka.

Dilema. Umat Islam benci Israel tetapi mereka keliru tentang apa yang mereka mahukan sebagai pengubat kebencian itu. Mereka tidak mahu rakyat Palestin dibunuh tetapi mereka mahu Israel hancur. Apa kita fikir Yahudi mahu buat selamba bila kita jentik mereka?

Ya, Israel memang pakar berlebih-lebihan. Sebutir roket Hamas meletup di ladang zaitun milik peneroka Yahudi, Israel akan balas dengan serangan udara, meriam dan kereta kebal. Seorang Yahudi maut, seratus Palestin hilang nyawa.

Itu tidak betul. Tetapi tindakan Hamas menembak roket ketika pelan damai sedang diusahakan juga tidak betul. Apa lagi bila Hamas terang-terang menyebut asas penubuhan mereka ialah ‘untuk memusnahkan Israel’, percaya bahawa ‘pelan damai tidak membawa apa-apa kebaikan’ dan ‘tidak percaya bahawa mereka boleh hidup bersama-sama musuh mereka’.

Lalu Hamas menjolok sarang tebuan dan terkena sengatnya.

Murtad Zionis-lah Yahudi di Israel jika mereka masih berdiam diri mengenai Hamas di Gaza.

Maka apakah kesimpulannya dari krisis atau pembunuhan yang berlaku di Gaza ini? You reap what you sow. Masalahnya orang awam yang tidak bersalah terpaksa membayar harga semua ini dengan nyawa mereka.

Bagi aku, biarpun ada elemen keagamaan dalam konflik ini (sehingga umat Islam kebanyakannya terbawa-bawa dengan semangat jihad mereka), realiti yang pahit ialah ianya bertitik-tolak tidak lebih dari sekadar permainan politik yang memualkan. Hamas mungkin mendakwa mereka memperjuangkan Islam tetapi apakah yang Islamiknya bila mereka mengeksploitasi tempat-tempat awam untuk faedah ketenteraan mereka, melakukan pembunuhan dan keganasan tanpa diskriminasi dan lebih hina lagi membunuh sesama saudara Islam hanya kerana mereka tidak sehaluan (konflik antara Hamas dan Fatah).

Tiada kesucian dalam krisis yang berlaku di Gaza ini. Kita diromantikkan dengan perjuangan jihad membela Islam. Hakikat yang sebenar ialah ia hanya eksploitasi nyawa orang awam demi kepentingan politik masing-masing.

No comments:

have fun