Wednesday, December 24, 2008

PR belum buat keputusan: Khalid - sinar harian



SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menerima cadangan Pas untuk melaksanakan hudud sekiranya berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor/ Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, PR mengamalkan dasar pemikiran terbuka dan matang dalam menangani sesuatu isu namun, pelaksanaan hudud yang dibangkitkan harus dibincangkan secara berterusan.

Menurutnya, Pas kini perlu menjalankan tugas untuk memberi pendidikan dan penerangan kepada parti komponen PR iaitu PKR dan DAP mengenai hudud.

“Saya rasa ia (hudud) merupakan idealisme yang menarik yang telah diperkenalkan tetapi PR mengambil pandangan bahawa kita akan berbincang perkara ini secara berterusan dengan jaminan Perlembagaan menjadi garis panduan.

“Perbincangan mengenai hukum hudud telah dibuat melebihi 20 hingga 30 tahun, jadi ia akan berterusan dan adakah PR telah selesai membuat keputusan mengenai hukum hudud? Jawapannya adalah tidak,” katanya pada sidang media sewaktu mengumumkan pelantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang baru, di sini, semalam.

Belia berkata demikian ketika mengulas mengenai hasrat Pas untuk menjalankan hukum hudud sekiranya PR berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor berkata, hukum hudud adalah bertujuan untuk memberi keadilan kepada orang Islam mengikut konsep Islam dan sekiranya hudud ingin dilakukan ia perlu diperjelaskan oleh Pas kepada semua.

“Sekarang menjadi tugas ahli dalam pakatan terutamanya Pas untuk mendidik semua ahli termasuk PKR dan juga DAP berkenaan hukum hudud,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah mengingatkan semua Exco supaya berhati-hati dalam menjalankan sebarang program agar tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kanak-kanak.

“Saya pernah berbincang dengan Sultan Selangor tentang perkara ini (penggunaan kanak-kana), baginda telah menasihatkan kerajaan negeri untuk berhati-hati dalam menjalankan sebarang program terutamanya yang membabitkan kanak-kanak dan belia di bawah umur.

“Kita mesti dapat kebenaran dari ibu bapa atau sekurang-kurangnya tidak digunakan sepenuhnya dalam sesuatu program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memperalatkan kanak-kanan bawah umur dalam beberapa kempen.

“Saya telah membuat pemeriksaan dan dimaklumkan oleh penganjur bahawa kanak-kanak tersebut mendapat kebenaran daripada ibu bapa dan saya mengingatkan mereka agar lebih elok melibatkan generasi muda.

“Mungkin polis tiada maklumat yang tepat atau maklumat yang diperoleh adalah kanak-kanak ini dipergunakan, dan sekarang persoalannya adalah pengesahan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan polis menahan 57 aktivis Jerit termasuk 28 remaja di bawah umur kerana menyertai kempen Rakyat Pengayuh Perubahan yang dianjurkan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

No comments:

have fun