Wednesday, December 24, 2008

PILIHAN raya Kecil P36-sinar harian

PILIHAN raya Kecil P36 Kuala Terengganu 17 Januari ini amat menarik dan bagi sesetengah pihak tentu amat mendebarkan. Keputusannya sudah pasti akan memberikan pelbagai petunjuk kepada parti politik utama di negara ini terutamanya parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Lebih tepat ialah sejauh manakah UMNO dan Pas diterima di kawasan berkenaan yang boleh dianggap berwarna-warni dari segi senario politiknya.

Ini kerana PRK P36 ini adalah yang pilihan raya kecil kedua selepas PRK Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan kembalinya semula bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Dewan Rakyat. Kemasukannya ke Parlimen membolehkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Sejak pilihan raya Umum 1986, Parlimen Kuala Terengganu dimenangi silih berganti oleh BN dan pembangkang, menandakan ia bukan milik kekal satu parti sahaja. Pada tahun berkenaan, kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Zuber Embong.

Bagaimanapun beliau tewas kepada calon Parti Semangat 46, Datuk Manan Othman pada 1990 manakala dalam pilihan raya umum 1995 pula, ia dirampas semula BN melalui calonnya, Datuk Abu Bakar Daud. Calon Pas, Syed Azman Ahmad Nawasi, merampas kerusi itu pada 1999 sebelum dimenangi BN dua kali berturut-turut pada 2004 dan 2008.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) Mac lalu, calon BN, Datuk Razali Ismail mengekalkan kerusi itu cuma dengan majoriti 628 undi. Tokoh pendidikan berkenaan mendapat 32,562 undi berbanding calon Pas, Mohamad Sabu yang mendapat 31,934 undi. Seorang lagi calon bebas, Maimun Yusuf (Tok Mun) mendapat 685 undi.

Datuk Razali kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran dalam pelantikan barisan Jemaah Menteri kali pertama selepas PRU12.

Ketika ini, P36 mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N13 DUN Wakaf Mempelam, N14 Bandar, N15 DUN Ladang dan N16 DUN Batu Buruk. Jumlah pengundi P36 ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos.

Pada PRU-12, BN hanya memenangi DUN Bandar manakala tiga DUN lagi dikuasai oleh Pas termasuk kemenangan kecil iaitu 31 undi di DUN Ladang. Apa yang menarik P36 dimenangi oleh BN. Mungkin kerana BN atau calonnya?

Di Bandar, calon BN, Toh Chin Yaw mendapat 7,831 undi menewaskan calon PKR, Dr Abdul Manaf Che yang mendapat 6,689 undi. Majoriti undi ialah 1,142.

Di Wakaf Mempelam, calon Pas, Mohd Abdul Wahid menewaskan calon UMNO, Othman Awang. Mohd Abdul mendapat 9,645 undi manakala Othman pula mendapat 7,452. Majoriti undi ialah 2,193.

Di Ladang, calon Pas, Tengku Hassan Tengku Omar mendapat 6,723 undi menewaskan calon UMNO, Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang mendapat 6,692 undi. Majoriti undi adalah kecil iaitu 31 saja.

Di Batu Buruk, calon Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menewaskan calon UMNO, Nordiana Shafie. Dr Syed mendapat 10,672 undi manakala Nordiana mendapat 9,511 undi. Majoriti undi ialah 1,161.

Penamaan calon akan diadakan pada 6 Januari dan jika ada pertandingan, pemilihan akan diadakan pada 17 Januari ini. Ketika ini, ada beberapa pihak yang menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRK P36 kali ini.

Pertama ialah calon BN. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu 20 Disember 2008 mengumumkan Ketua UMNO Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN. Ini secara langsung mengetepikan beberapa nama lain yang diramal pemerhati politik sebelum ini.

Antara nama yang disebut-sebut ialah ialah Timbalan Ketua UMNO Kuala Terengganu, Mohd Sabri Alwi; Bendahari Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Roslan Awang Chik; bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Zuber Embong.

Calon kedua yang pada mulanya berminat untuk bertanding ialah calon bebas iaitu Hazlan Ismail. Beliau seorang usahawan muda yang baru berusia 25 tahun. Hazlan ini dikenali di kalangan orang muda kerana beliau mengusahakan empat buah gelanggang futsal di Kampung Gong Tok Nasek.

Beliau juga memiliki beberapa buah bas persiaran, 2 unit kedai runcit dan jual beli kad prepaid. Beliau juga mempunyai aset kenderaan-kenderaan mewah seperti Mercedes Brabus, BMW 7 siri dan yang terbaru, Ferrari. Beliau pernah menerima anugerah Usahawan Muda peringkat Kebangsaan pada tahun lalu. Akhirnya beliau dikatakan tidak berminat untuk bertanding. Sama-samalah kita saksikan sehingga hari penamaan calon.

Calon ketiga ialah dari Pas. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan partinya akan membuat pengumuman calon mereka pada 1 Januari ini. Antara nama yang disebut-sebut ialah Dr Syed Azman, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Wan Mutalib Embong; Naib Presiden Mohamad Sabu dan muka baru, Mohd Khazani Abdullah, seorang ahli perniagaan.

Calon keempat adalah daripada AKIM. AKIM yang ditubuh pada 1995 dan dikatakan mempunyai lebih 10,000 ahli mencalonkan bekas ahli PKR iaitu Harun @ Abdul Rahman Mohamad. Beliau adalah Naib Presiden Angkatan Keadilan Islam. Bekas Pengarah Pilihan Raya PKR Kuala Terengganu.

Calon kelima ialah calon Bebas, Isma Airfath Hassanuddin, Seorang peniaga getah, berumur 38, berasal dari Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan pernah bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang kepala harimau untuk Parlimen Rantau Panjang pada PRU12 dan kalah (hanya mendapat 320 undi) kepada calon Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff dengan majoriti 4,486 undi

Calon bebas terakhir dijangka mengambil bahagian ialah Maimun Yusuf berusia 89 tahun. Beliau yang mendapat 685 undi pada PRU-12 pasti akan menarik perhatian ramai dengan usaha gigih menerangkan manifesto dengan berbasikal dan menerusi laman web.

Beberapa pihak telah bersetuju untuk membantu beliau mewujudkan laman web bagi membolehkan pengundi mengetahui apa yang ingin diperjuangkan oleh Tok Mun bagi pengundi di Kuala Terengganu.

Kesimpulannya, PRK P36 sudah pasti memberi sedikit petunjuk kepada senario politik negara selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan pada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mac ini.

Kemunculan DS Najib sebagai pemenang jawatan Presiden UMNO yang akan diserahkan secara rasmi pada Mac depan juga memaparkan bahawa parti itu bakal mengalami perubahan dari segi perjalanannya walaupun dasar memperjuangkan bangsa Melayu menjadi teras.

Adakah perubahan ini akan mempengaruhi orang Melayu di Kuala Terengganu untuk menyokong BN? Jika tidak, apakah alasannya?

No comments:

have fun