Selepas Permatang Pauh, Kuala Terengganu pastinya menjadi tumpuan seluruh rakyat di negara ini apabila pilihan raya kecil bagi merebut kerusi Parlimen akan dilaksanakan di daerah tersebut. Umum juga sudah pun mengetahui Kuala Terengganu pastinya menjadi satu medan perebutan parti-parti politik dan juga calon bebas untuk memancing rakyat bagi memilih mereka.
Ramai yang beranggapan, pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini akan lebih hebat berbanding Permatang Pauh kerana peluang Barisan Nasional terutama UMNO dan juga Pakatan Rakyat terutamanya Pas adalah sama hebat dan seimbang. Bagaimanapun, calon bebas sedikit sebanyak mencuri tumpuan dan tidak mustahil mereka ini mampu mencipta kejutan sekiranya rakyat Kuala Terengganu sudah jelak dengan parti politik yang sedia ada.
Pun begitu, keputusannya akan kita dapat saksikan 16 Januari depan. Menyebut pilihan raya kecil, ia sebenarnya lebih hebat daripada pilihan raya umum kerana pada waktu inilah kita dapat saksikan seluruh kepimpinan parti baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat akan turun padang dan berkempen untuk calon mereka.
Selepas hari penamaan calon 6 Januari ini, kita akan dapat saksikan pesta pujuk memujuk dan melobi bagi memastikan calon masing-masing memperoleh kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Seperti yang kita semua sedia maklum, apabila berlakunya pilihan raya kecil seperti ini, setiap negeri akan menghantar wakilnya bagi membantu jentera pilihan raya parti masing-masing.
Bagi Pahang, parti-parti yang bertanding juga akan turut menghantar wakil mereka berkampung di Kuala Terengganu. Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin menjelaskan, UMNO Pahang akan menghantar 200 petugas sepenuh masa di Kuala Terengganu dan 5,000 ahli UMNO Pahang dijangka akan turun bagi memberi sokongan kepada calon mereka, Datuk Wan Farid Wan Salleh untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang sebelum ini disandang Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia November lalu.
Begitu juga dengan Pakatan Rakyat terutamanya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan menurunkan jentera-jentera pilihan raya mereka bagi membantu rakan-rakan mereka di Kuala Terengganu. Penulis difahamkan Angkatan Muda Keadilan Pahang sudah pun menggerakkan ahli-ahli mereka ke Kuala Terengganu, semalam.
Dalam perkembangan lain, pastinya ceramah-ceramah politik yang bakal berlangsung menarik perhatian semua pihak terutamanya tentang manifesto politik masing-masing. Bagaimanapun yang berlaku, kita harapkan biarlah perjalanan pilihan raya kecil ini aman dan tenteram serta tidak menimbulkan sebarang bentuk
No comments:
Post a Comment