KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak perlu membuat pelbagai andaian mengenai hubungan parti Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya mereka perlu menjaga urusan dalaman masing-masing.
Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, kenyataan sedemikian tidak perlu dijadikan sebagai isu kerana semua pihak dalam pakatan tahu menjalankan tanggungjawab terhadap parti.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu menegaskan, tidak teragak-agak untuk membalas kenyataan sedemikian terutama mengenai keretakan yang berlaku dalam UMNO dan BN.
“Saya tahu (keretakan UMNO), tapi saya tak mahu (mengeluarkan) benda-benda macam itu. Mereka boleh buat tuduhan, kita pun boleh,” katanya kepada Sinar Harian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berhubung campur tangan DAP terhadap Pakatan Rakyat (PR) selepas melawat mangsa kebakaran di Wakaf Beruas, dekat sini, semalam.
Dalam laporan Sinar Harian semalam, Muhammad berkata, tindakan Lim Guan Eng yang meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mendisiplinkan pemimpin PKR merupakan satu campur tangan daripada satu pihak kepada pihak lain.
Katanya, tindakan tersebut menunjukkan mereka tidak menghormati ketua kerana cuba memberi arahan dan tunjuk ajar sambil membandingkan persefahaman yang wujud dalam BN menyebabkannya kekal sehingga hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Abdul Wahid berkata, sekiranya BN dan UMNO memburukkan parti itu, beliau juga akan mengeluarkan kenyataan sedemikian dan akan mempertahankan setiap perkara terutama yang membabitkan hubungan Pas dengan komponen lain dalam PR.
“Saya boleh bagi tahu juga UMNO lagi (lebih) retak, saya tahu apa yang berlaku dalam UMNO Terengganu dan apa yang berlaku dalam UMNO Bahagian Kuala Terengganu,” katanya.
No comments:
Post a Comment