PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed semalam menggesa negara yang mempunyai hubungan dagangan dengan Amerika Syarikat (AS) supaya menghentikannya kerana ia akan meningkatkan lagi serangan Israel ke atas penduduk tidak berdosa Palestin.
Beliau berkata, selain tindakan menghentikan hubungan dagangan, negara berkenaan juga perlu sepakat untuk menyelar sikap AS yang secara terang menyokong perbuatan Israel menceroboh Gaza.
“Kita perlu hentikan segera (hubungan dagangan). Jika tidak mereka (Amerika dan Israel) semakin kuat menyerang Palestin.
“Inilah cara terbaik kita lakukan ke atas Amerika kerana mereka jelas memberi sokongan dengan tindakan Israel membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.
Dr Mahathir turut menyifatkan serangan ke atas Palestin menerusi laut, udara dan darat sejak seminggu lalu itu sebagai peperangan moden kerana melibatkan pembunuhan orang awam yang tidak berdosa.
Mengenai sama ada Malaysia mampu bertahan hubungan dengan Amerika, beliau berkata, setiap perbuatan baik ada harganya.
“Saya yakin negara mampu berdaya saing maju tanpa bergantung pada Amerika. Lagipun, ketika ini ekonomi Malaysia adalah lebih pelbagai,” katanya.
Ditanya wartawan, mengapa kebanyakan badan hanya mendiamkan diri ketika Israel menyerang Gaza, beliau berkata, organisasi itu diterajui oleh Amerika dan Britain.
Menurutnya, apa yang berlaku itu membuktikan wujud ketidakadilan dunia terhadap Israel.
“Pada saya, Amerika dan Britain adalah dalang yang mencetuskan peperangan di bandar Gaza sehingga kehilangan banyak nyawa dan negara Palestin semakin musnah. Ini satu perkara yang tidak baik.
“Kita patut boikot barangan mereka. Kita jangan beli peralatan perang daripada Amerika. Kita ada pilihan lain, kita boleh beli senjata daripada Rusia,” katanya.
Dr Mahathir berkata, peperangan zaman moden yang berlaku itu bukan alternatif untuk memusnahkan sesebuah negara, sebaliknya hendak menghapuskan umat Islam.
Ditanya kenapa beliau mengadakan sidang akhbar, katanya, beliau perlu membuat sesuatu dan bercakap sesuatu seperti mengharapkan Amerika perlu berhenti menyokong Israel.
“Jangan salahkan Israel, salahkan Amerika Syarikat dan Britain sebab mereka yang mencipta keadaan di sana (Gaza),” katanya.
No comments:
Post a Comment