Isu undi Pas dapat pahala
KOTA BHARU – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyangkal dakwaan kononnya Pas menakut-nakutkan pengundi dengan isu mengundi parti itu akan dapat pahala.
Sebalik Mursyidul Am Pas itu mendakwa BN sebenarnya yang menakutkan pengundi apabila mengenakan pelbagai tindakan kepada mereka yang mengundi Pas termasuk dibuang kerja.
“Kalau dia (BN) boleh menyalahkan saya, apa bukti kata saya salah sebut pangkah Pas boleh pahala… apa bukti?
“Orang zaman dahulu pun salahkan Nabi Muhammad SAW juga. Kalau kira nak menyalah, kami boleh menyalahkan mereka juga.
“Dia (BN) yang menakutkan pengundi. Kalau sokong Pas akan dibuang kerja, tukar daerah, tidak ada pembangunan dan macam-macam,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas dakwaan calon BN, Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh Pas menakutkan pengundi Kuala Terengganu dengan menimbulkan isu dosa pahala apabila mengundi.
Menteri Besar itu berkata, isu pembangunan tidak perlu dijadikan alasan apabila sesebuah kawasan itu dikuasai parti lain selain BN kerana sebagai contoh di Kelantan banyak pembangunan dilaksanakan sehingga kini.
Menurutnya, pelbagai projek pembangunan dijalankan di Hulu Kelantan, Gua Musang, Kubang Kerian, Wakaf Che Yeh di Kota Bharu dan Tok Bali di Pasir Puteh.
Katanya, semua kawasan itu kini dalam pembangunan dengan beberapa projek sedang giat dijalankan yang merancakkan lagi ekonomi Kelantan.
“Cuba tengok kapal terbang beberapa syarikat penerbangan mendarat di Kelantan berapa belas kali sehari. Di Kelantan ada Tesco, KB MALL dan sebagainya.
“Semua ini kalau rakyat tidak ada kuasa beli mereka tidak akan buka di sini. Bidang bioteknologi pun berkembang di sini dengan pengeluaran minyak kelapa dara,” katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan rombongan dari Maluku Utara, Indonesia yang diketuai Datuk Bandar Halmahara Selatan, Muhamad Kasuba di pejabat Menteri Besar berkenaan, semalam.
Nik Abdul Aziz berkata, rombongan berkenaan berminat mempelajari corak pemerintahan yang dilaksanakan Pas di Kelantan sejak memerintah negeri itu 19 tahun lalu.
Menurutnya, Kelantan menguruskan negeri menggunakan pendekatan sistem Islam dengan mengamalkan perbankan Islam, pelaksanaan menutup aurat dan sebagainya mengikut apa yang ditetapkan Islam.
“Begitu juga judi. Saya tutup semua, tak benarkan orang Melayu , Cina main judi. Namun arak, minuman memabukkan dengan permit terhad, saya benarkan orang bukan Islam jual arak, minum arak dengan syarat jangan jual kepada orang Islam jika tidak lesen akan ditarik balik. Tidak ada apa. Bukan payah,” katanya.
No comments:
Post a Comment