Friday, January 2, 2009

Isu peletakan jawatan Manikavasagam selesai - sinar harian

PETALING JAYA - “Soal Manikavasagam sudah dikira selesai. Dia cuma letak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Negeri Selangor dan dia pernah kata mahu letak jawatan dalam bulan September lalu tapi tak jadi. Kali ini jadilah, PKR tidak mempunyai masalah dengan peletakan jawatan itu,” demikian menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali.

Katanya, parti tersebut menerima keputusan peletakan jawatan S Manikavasagam sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor yang merupakan satu daripada langkah demokrasi dalam parti.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Kapar ini walaupun isu tersebut telah banyak diperkatakan pelbagai pihak.

“Tindakan disiplin tak timbul, kalau bincang pun mungkin pada masa yang lain, tetapi setakat ini tak timbul soal disiplin,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat, kelmarin.

Sementara itu, mengulas mengenai isu P Jenapala, Syed Husin berkata, beliau sememangnya digugurkan daripada jawatannya itu kerana didapati muflis.

Menurutnya, hasil siasatan parti mendapati Jenapala diisytiharkan muflis sejak lebih dua tahun lalu, tetapi tidak memaklumkan kepada barisan pimpinan tertinggi parti.

“Sehinggalah baru-baru ini dalam dua minggu lalu selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan saya dan Setiausaha Agung, Datuk Salehuddin beritahu bahawa Jenapala seorang yang muflis dan ikut undang-undang dan perlembagaan beliau terpaksa digugurkan daripada jawatan parti,” katanya.

Syed Husin juga menegaskan parti tersebut tidak pernah mengetepikan kaum India dalam perjuangan parti tersebut.

Katanya, tindakan Jenapala untuk mengumpulkan pimpinan kaum India dalam PKR kelmarin ternyata tidak berjaya.

“Saya dimaklumkan bahawa lebih ramai wakil media yang hadir berbanding pemimpin, itu menunjukkan bahawa tidak ada sokongan kepadanya,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan yang berasingan Syed Husin berkata, selain kes Manikavasagam dan Jenabala, mesyuarat tersebut telah turut membincangkan lima agenda berkaitan hal-hal parti.

Beliau berkata, antara perkara tersebut adalah laporan mengenai Sarawak, pindaan perlembagaan parti, kongres Nasional Khas dan perhatian meluas media kerajaan terhadap pemimpin PKR.

“Mesyuarat ini juga telah mengambil perhatian tentang laporan meluas oleh sesetengah media yang dikuasai pemerintah khususnya kes yang melibatkan Manikavasagam. Dari laporan tersebut nyata sekali editor-editor media itu sama sekali tidak menghormati etika kewartawanan,” katanya.

Beliau berkata, media yang di kuasai pemerintah sengaja mengada-adakan isu yang tidak wujud dan memutarbelitkan kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan terutama PKR.

“Seperti yang diketahui, Manikavasagam tidak jadi keluar parti atau menarik diri sebagai Ahli Parlimen PKR,” katanya.

Menurutnya, Manikavasagam hanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor, iaitu jawatan yang dilantik oleh Pengerusi Perhubungan, (Tan Sri) Khalid Ibrahim.

No comments:

have fun