Friday, November 6, 2009

Fitnah Memali, Kosmo perlu tarik balik artikel

Mohamad Shuhaimi Abdul Aziz
Wed | Oct 28, 09 | 3:32:10 pm MYT

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membidas artikel yang ditulis di dalam akhbar KOSMO! bertarikh Isnin, 26 Oktober 2009 yang menuduh dan memfitnah kejadian di Memali sebagai golongan yang sesat.

DPPWP merasa kesal kerana editor KOSMO! menerima mentah-mentah dakwaan peristiwa Memali tahun 1985 sebagai sesat. Mana mungkin melabelkan kelompok ajaran sesat yang lainnya sama dengan penduduk di Memali, Baling.

Untuk pengetahuan, Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh.

Para syuhada yg dipimpin Ustaz Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya) disahkan mati syahid oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak.

Jenazah Ibrahim Libya serta pengikutnya dikebumikan dalam kubur panjang tanpa dimandikan kerana dipercayai tergolong sebagai para syuhada. Darah dan peluh mereka dikatakan masih basah walaupun sudah berhari-hari di bilik mayat. Sultan Kedah sendiri turun mencemar duli untuk mengunjungi makam tersebut.

Penduduk Memali, Baling tidak pernah mengamalkan ajaran sesat seperti yang didakwa KOSMO!. Ajaran serta amalan Islam mereka sama seperti yang kita laksanakan di tempat lainnya.

Mengaitkan peristiwa Memali serta penduduknya dengan ajaran sesat beerti menghina Majlis Fatwa Kerajaan Kedah serta secara langsung menghina Sultan Kedah. Ini juga bermaksud KOSMO! telah menghina umat Islam di Baling khususnya serta Kedah amnya.

DPPWP mempersoalkan apakah yang ingin diraih dari berita palsu dan tohmahan melulu seperti ini? Adakah KOSMO! juga sudah menjadi akhbar picisan atau sebahagian dari akhbar tajaan UMNO-BN? DPPWP menegaskan fitnah seperti inilah yang membakar semangat perkauman atau menanam sentimen kebencian sesetengah pihak.

Justeru DPPWP mendesak supaya KOSMO! meminta maaf secara khusus kepada keluarga mangsa tragedi Memali serta umat Islam di Baling, Kedah secara amnya.

DPPWP juga mendesak agar KOSMO! menarik balik artikel tersebut serta mengambil tindakan tegas terhadap penulis artikel tersebut. DPPWP ingin mengingatkan agar KOSMO! bersikap lebih berhati-hati di masa akan datang supaya insiden seperti ini tidak lagi berulang.

Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
_

No comments:

have fun