Friday, June 12, 2009

RM213,000 sambut Ramadan - sinar harian

RM213,000 sambut Ramadan

PULAU PINANG - Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM213,000 kepada semua masjid di sekitar negeri sempena Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim berkata, peruntukan ini bertujuan mengimarah dan menghidupkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang akan meningkatkan syiar Islam khususnya di negeri ini.

“Jumlah peruntukan yang dicadangkan adalah sebanyak RM5,000 untuk kegunaan masjid negeri, RM2,000 untuk setiap masjid daerah dan RM1,000 kepada masjid kariah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, sumbangan kerajaan negeri ini akan membolehkan masjid menjalankan pelbagai aktiviti dan akan mengeratkan hubungan perpaduan masyarakat khususnya umat Islam melalui masjid.

Abdul Malik berkata, antara aktiviti yang akan dijalankan itu termasuk majlis berbuka puasa dan tadarus al-Quran.

Di Pulau Pinang terdapat sebuah masjid negeri, empat masjid daerah dan 200 masjid kariah. - BERNAMA

No comments:

have fun