Thursday, February 26, 2009

Ibrahim Ali tidak berubah - sinar harian



KOTA BHARU - Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menipu Pas Kelantan kononnya sudah berubah sebelum dicalonkan atas tiket Pas poada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Beliau berkata, menurut laporan daripada ahli Pas, Ibrahim kerap mengadakan ceramah-ceramah di kawasan kampung dengan memburukkan kerajaan negeri Kelantan tentang isu pembangunan yang menurut dakwaannya lambat ditunaikan.

“Kita sudah terima banyak maklumat apa yang dilakukan di Pasir Mas daripada ahli kita. Dia (Ibrahim) memburukkan kita kononnya kerajaan negeri lambat membawa pembangunan. Kenapa dia perlu membuatkan kenyataan kepada umum. Sebaliknya benda ini boleh dibuat secara terus kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli, antara kerajaan negeri dan syarikat swasta, bangunan asrama 10 tingkat untuk pelajar Kelantan di Kaherah, Mesir bernilai RM17 juta, di sini semalam.

Takiyuddin sebelum ini berkata, Pas Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik parti itu.

Beliau turut menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan Ahli Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket Pas pada pilihan raya umum 2008.

Dalam reaksi spontan, Ibrahim berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Takiyuddin berkata, walaupun tiada perjanjian yang dibuat antara Pas dan Ibrahim sebelum pilihan raya umum namun Ibrahim menyatakan beliau sudah berubah.

“Atas sebab kita yakin Ibrahim telah berubah kita terima dia untuk bertanding atas tiket Pas di Pasir Mas. Tetapi rupa-rupanya dia tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata, Ibrahim juga ketika di Parlimen mengkritik bukan dengan cara berhemat dengan menggunakan kata-kata kesat terhadap anggota parlimen Pakatan Rakyat dan Pas.

“Dia kena ingat apabila dia di Parlimen dia membawa lambang Pas Kelantan. Jika cara mengkritiknya itu tidak betul ia mencerminkan Pas Kelantan dan ini tidak elok. Nanti apa pandangan orang dan dia telah jejaskan imej Pas Kelantan,” katanya.
Katanya, Ibrahim seharusnya bertemu dengan Pas dan Pakatan Rakyat jika beliau tidak berpuas hati terhadap mana-mana isu.
Pada majlis yang sama, ketika diminta mengulas mengenai Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata: “Ikut dialah, dia orang bebas.”

No comments:

have fun