Thursday, January 15, 2009

Undang-undang sekat rejim Zionis perlu persetujuan PBB - sinar harian



SHAH ALAM - Undang-undang antarabangsa boleh dilaksanakan dalam usaha menyekat tindak-tanduk Israel, namun perlu mendapat persetujuan penuh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohammad Rizal Abidin berkata, Majlis Keselamatan PBB perlu sebulat suara dalam menghentikan serangan Israel.

Menurutnya, tindakan rejim Zionis itu melanggar undang-undang antarabangsa sehingga mengorbankan lebih 900 orang awam setakat ini termasuk kanak-kanak dan kaum wanita.

“Terdapat banyak undang-undang antarabangsa yang sedia ada boleh digunakan dalam menyekat serangan Israel ke atas penduduk Palestin namun masalahnya tanpa persetujuan dari Majlis Keselamatan PBB, sebarang tindakan tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Antarabangsa dan Strategi Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, tanpa persetujuan Amerika Syarikat (AS) sebagai salah satu anggota PBB, sebarang tindakan tidak boleh dicapai.

Menurutnya, tanpa sokongan AS untuk menghentikan serangan ke atas Gaza, maka sebarang tindakan tidak boleh dilaksanakan.

“Tanpa campur tangan kuasa barat itu menyebabkan gencatan senjata tidak dapat dilakukan,” katanya.

AS terus dikecam kerana menyokong tindakan rejim Zionis itu apabila Presiden George W Bush menyatakan bahawa AS bersikap berkecuali semasa pengundian Majlis Keselamatan PBB.

Dalam kenyataan sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berkata, serangan Israel terhadap Palestin akan diteruskan.

Pertembungan antara tentera Israel dan pejuang Hamas semakin sengit sehingga lebih banyak tentera dan askar sukarelawan dihantar ke Gaza menyebabkan tempat-tempat awam turut musnah.

No comments:

have fun