Thursday, January 8, 2009

Dilema pegawai k'jaan untuk sertai Umno - Malaysiakini


Abdul Rahim Sabri | Jan 8, 09 11:36am
umno suara akar umbiPemuda Umno Padang Serai menggesa kerajaan menimbang membenarkan pegawai awam kumpulan A, memegang jawatan dalam parti politik di peringkat cawangan dan bahagian.

Ketua pemudanya, Ismadi Abu Talib berkata pegawai dari kumpulan pengurusan dan profesional - yang mempunyai ijazah - harus diberi peluang untuk memegang jawatan dalam parti.

Ini kerana, kata Ismadi yang juga seorang guru, mereka mempunyai banyak idea dan buah fikiran yang bernas untuk bersama-sama memperkuatkan Umno.

Katanya, terdapat rakan-rakannya - pegawai kerajaan - yang tidak mahu terlibat di dalam Umno kerana takut dikenakan tata tertib.

Kerajaan tidak membenarkan penjawat awam terlibat dalam politik kerana ia telah termaktub dalam ‘Perintah Am', tambahnya.

Katanya, mereka hanya boleh berbuat demikian sekiranya mendapat kelulusan daripada pihak kementerian masing-masing.

Bagaimanapun, tegas Ismadi, adalah lebih baik jika kerajaan dapat menimbang membenarkan mereka memegang jawatan dalam parti.

Mengulas mengenai kekalahan Umno dalam piliharaya umum Mac lalu, Ismadi berkata Pemuda Umno harus menumpukan untuk membela kepentingan orang Melayu.

Reaksi akar umbi

"Saya faham kita hendak menjaga hati komponen BN. Tetapi kalau Pemuda berlembut, akar umbi melihat Umno gagal membela orang Melayu," tegasnya.

Beliau berkata, ia seterusnya memberikan tekanan kepada pimpinan Pemuda di peringkat bahagian untuk menerangkan kepada akar umbi yang melihat Pemuda seperti tidak menjaga kepentingan orang Melayu.

"Ia memberi tekanan kepada kami untuk menghadapi ahli. Mereka (pimpinan atasan) tidak tahu," tambahnya.

Ismadi turut mengingatkan pemimpin calon ketua Pemuda dan exco yang terpilih memimpin pergerakan itu, agar sentiasa berhubung dengan pimpinan Pemuda bahagian bagi mendengar segala pandangan dan memberi perhatian kepada mereka.

"Harap-harap pemimpin Pemuda turun dan sentiasa berhubung dengan kami sebelum dan selepas pemilihan.

"Hendaklah sentiasa berhubung bertanyakan masalah. Ambil perhatian dan padangan akar umbi. Hubungan (pimpinan) Pemuda dengan bahagian mesti ada," kata Ismadi.

Ismadi juga turut mengadu bahawa Pemuda Padang Serai tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menarik golongan anak-anak muda mendekati Umno.

Berlaku perpecahan

Ini berikutan Umno sekarang menjadi pembangkang di negeri Kedah yang dirampas pembangkang dalam dalam pilihanraya umum Mac lalu.

"Dana tak cukup untuk mengawal bahagian. Pemuda tak memahami (perkara ini). Akar umbi mahukan program. Untuk mencapainya, ia memerlukan kos yang tinggi. Hendak perkasa bahagian kena perkasakan cawangan dahulu," kata Ismadi sambil menambah program yang dijalankan Pemuda lebih menjurus kepada ‘syok sendiri' dan tidak menumpukan kepada golongan sasaran.

Mengulas mengenai pemilihan ketua Pemuda dalam persidangan Umno Mac depan, Ismadi berkata, ketiga-tiga calon yang bertanding mempunyai ketokohan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa pertandingan itu akan menyebabkan berlaku pepecahan dalam parti, terutama di peringkat akar umbi.

Oleh yang demikian, beliau mencadangkan bahawa sempena pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini, ketiga-tiga calon disatukan dalam satu program sebagai tanda penyatuan.

Ini kerana, kata Ismadi, penyatuan itu penting untuk memberi semangat kepada akar umbi untuk berjuang dalam Umno dan mengelakkan pepecahan walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan calon ketua Pemuda.

"Kalau pimpinan peringkat atasan boleh buat begitu, apatah lagi akar umbi," katanya.

Ismadi juga menjelaskan bahawa Pemuda Padang Serai bahagiannya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Umno di peringkat negeri dan bahagian-bahagian yang lain.

Pemuda Padang Serai juga tidak menghadapi masalah dengan pergerakan Wanita dan Puteri bahagian, tambahnya.

No comments:

have fun