Thursday, January 15, 2009

Anwar tiada hubungan rapat dengan AS: Syed Husin - SINAR HARIAN



SHAH ALAM - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS) seperti yang didakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, Anwar tidak mempunyai hubungan baik dengan Amerika, tetapi beliau dari awal lagi telah membuat gesaan kepada AS melalui beberapa pertemuan dengan pemimpin dunia seperti Turki supaya menghentikan keganasan yang dibuat Israel ke atas Palestin.

“Kenyataan itu sengaja dibuat untuk memburuk-buruk imej Anwar.

“Ini merupakan fitnah besar daripada Barisan Nasional (BN) kononnya Anwar mempunyai hubungan yang baik dengan AS,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Syed Hamid yang meminta Anwar menggunakan kelebihan hubungan rapatnya dengan AS untuk mempengaruhi kuasa besar itu mengarahkan Israel menghentikan serangan ke atas Palestin.

Menurutnya, Anwar memang ada membuat beberapa siri syarahan di universiti di AS dan Britain, tetapi itu tidak bermakna Anwar mempunyai hubungan baik dengan AS.

Beliau berkata, syarahan yang dibuat di sana adalah untuk memberi nafkah dan menyara keluarganya.

“Anwar tidak pergi bertemu Bush, tapi yang jumpa Bush, Mahathir dan Abdullah Badawi. Dia (Syed Hamid) perlu tahu gesaan supaya mengadakan Sidang Parlimen Khas baru-baru ini bermula daripada Pakatan Rakyat.

“Sejak zaman Mahathir lagi BN tidak habis-habis memfitnah Anwar dan saya ingin tegaskan bahawa kenyataan itu tidak benar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub menyifatkan Syed Hamid berfikiran sempit kerana membuat kenyataan sedemikian.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri itu juga berunsur fitnah kerana menggambarkan Anwar sebagai pro-AS.

“Saya nak tanya dia (Syed Hamid), siapa yang lebih berkuasa, kerajaan Malaysia atau Anwar,” katanya.

Menurutnya, sepatutnya kerajaan yang berusaha mempengaruhi AS supaya mendesak Israel menghentikan serangan di Palestin selepas pihak pembangkang juga menyokong usul Perdana Menteri pada Sidang Khas Parlimen, Isnin lalu.

No comments:

have fun