Tuesday, December 30, 2008

Hina Nabi tidak boleh diterima: Mufti - sinar harian



PUTRAJAYA – Mufti Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menganggap perbuatan sesetengah pihak menghina dan mencaci Nabi Muhammad SAW serta agama Islam sebagai perbuatan yang tidak beradab dan tidak boleh diterima sama sekali.

Menurutnya, orang Islam tidak pernah menghina agama lain kerana Islam menyeru agar umatnya menghormati agama lain dalam dunia ini.

“Walaupun agama Islam adalah agama yang sebenar-benarnya tetapi kita tidak penah sesekali menghina agama lain malah kita menghormati agama mereka.

“Mereka sebenarnya berani menghina agama Islam kerana mereka tahu umat Islam tidak akan bertindak menghina agama mereka balik, itulah sebabnya,” katanya pada sidang media selepas dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Isu ini timbul setelah satu laporan mengatakan sebuah laman blog dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Blog tersebut dikatakan menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu, bagaimanapun dipercayai gambar dan identiti wanita itu disabotaj oleh pihak lain.

Selain itu, beliau juga memberi contoh umat Islam tidak akan sesekali menghina ‘Jesus’ yang dianggap tuhan oleh orang Kristian kerana bagi umat Islam, ‘Jesus’ tersebut adalah Nabi Isa AS, berlainan dengan tindakan beberapa kartunis Kristian yang berani melukis serban Nabi Muhammad SAW sebagai ‘bom’.

“Kita tidak akan menghina dan mencaci ‘Jesus’ kerana kita tahu mereka adalah Nabi, begitu juga dengan Buddha, Hindu dan lain-lain.

“Ini berlainan dengan agama lain yang berani bertindak sewenang-wenangnya menghina, mencaci dan mengutuk Nabi serta agama Islam. Keadaan ini terasa seolah-olah seperti kita senyum kepada seseorang dan dibalas dengan tiba-tiba oleh penampar,” katanya.

Harussani berkata, di negara ini, Perlembagaan Persekutuan secara jelas meletakkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di samping hak-hak orang bukan Melayu turut dijaga.

“Perlembagaan Persekutuan adalah perjanjian yang telah dipersetujui oleh semua kaum semasa kita mendapat kemerdekaan dan kita semua patut menghormatinya.

“Tetapi kenapa sesetengah pihak berani menimbulkan isu ini malah mengungkit kembali kisah-kisah lama yang mengguris hati orang-orang Melayu? Begitu juga dengan peristiwa 13 Mei 1969, kenapa ia terjadi? Adakah orang Islam memulakannya dengan mencaci agama lain?

“Ia terjadi kerana mereka cukup berani bertindak mengutuk, menghina dan mencaci agama kita,” katanya.

Menurutnya, penganut agama selain dari Islam juga secara bebas boleh mempraktikkan ajaran agama mereka secara terbuka serta menyambut perayaan dengan cukup meriah dan disambut bersama-sama.

“Perkara ini sukar terdapat di negara lain di mana kita boleh mengekalkan keharmonian sedangkan kita mempunyai penduduk berbilang kaum.

“Sebagai contoh India yang mempunyai satu kaum tetapi berbeza agama masih bergaduh, begitu juga dengan England yang hanya berbeza mazhab, masih bergaduh.

“Ini menunjukkan negara kita jauh lebih hebat dari negara-negara lain,” katanya.

1 comment:

Suraya said...

Blog terbaru hina Nabi....

adibahahmed.blogspot.com

Jom FLAG!

Lepas Adibah Ahmad, keluar lah pula blog Adibah Ahmed! Aduhai...

Short Talk

have fun