Wednesday, February 11, 2009
Nizar dihalang masuk ke SUK - sinar harian
IPOH - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dan barisan Exconya dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ketika cuba melapor diri untuk bekerja seperti biasa di sini, semalam.
Mohammad Nizar, yang berkonvoi dari kediaman rasmi Menteri Besar Perak bersama Exconya termasuk Datuk Ngeh Koo Ham, Nga Kor Ming, A Sivanesan dan beberapa Exco lain sampai di pintu hadapan bangunan SUK pada jam 11.05 pagi.
Bagaimanapun di hadapan bangunan itu, kereta beliau dihalang daripada memasuki bangunan berkenaan oleh lebih 30 anggota FRU dan pihak polis.
Keadaan ini memaksa Mohammad Nizar keluar daripada kenderaannya dan berjalan ke pintu pagar bangunan SUK yang dikunci tetapi FRU membuat benteng manusia di hadapan pintu bangunan berkenaan.
Beliau kemudiannya meminta pihak media berundur ke tepi agar tidak menghalang lalu lintas dan sempat bercakap dengan pihak media.
“Kami datang secara aman dan akan pergi secara aman. Saya tidak mahu sebarang kekecohan berlaku.
“Hari ini hanya hari bertemu pelanggan, tidak apalah jika tidak dapat masuk. Bagaimanapun saya akan membuat kerja-kerja bertemu pelanggan ini di kediaman rasmi saya,” katanya.
Menurutnya, untuk memastikan keamanan terjamin, beliau tidak akan datang ke bangunan berkenaan dan hanya menjalankan tugas beliau di kediaman rasmi.
Mohammad Nizar juga tidak menyalahkan pihak polis kerana menghalang beliau daripada memasuki bangunan yang pernah dihuninya sejak 10 bulan dahulu.
“Saya berterima kasih kepada mereka kerana menjalankan tugas yang diamanatkan,” katanya.
:Beliau kemudian meninggal:kan pekarangan bangunan SUK sekitar jam 10.20 pagi.
Manakala dalam sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar, Nizar berkata, beliau akan tetap menjalankan tugas-tugas di kediaman itu dan menerima pelawat yang sedia untuk bertemu.
“Tetapi saya harap mereka akan menelefon dahulu sebelum ke mari. Saya akan terus tinggal di sini sehingga mahkamah putuskan siapa sebenarnya Menteri Besar,” katanya.
Menjawab soalan berkaitan kerja dua Exco dalam kerajaannya yang telah menjadi ahli Bebas, Mohammad Nizar berkata, kerja-kerja mereka telah diagihkan kepada Exco beliau yang lain termasuk dirinya.
Mengenai calon Ahli Parlimen Bukit Gantang, beliau menyatakan ia akan diputuskan selepas berbincang dengan pemimpin atasan Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata, pilihan raya kecil di sana kelak bakal menjadi saksi siapa yang disokong rakyat dan beliau yakin PR akan menang dengan majoriti tinggi di kawasan itu.
Mohammad Nizar juga sempat membidas BN dengan menyatakan barisan Exco baru yang dilantik 'tempang' kerana hanya mempunyai enam Exco sahaja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment