Wednesday, February 11, 2009

Nik Aziz tolak cadangan Nizar bertanding di Bukit Gantang - sinar harian



KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham agarDatuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, sebagai seorang Menteri Besar Mohammad Nizar tidak sepatutnya memikul dua tanggungjawab yang besar kerana bimbang jawatan itu akan mengganggu tugas hariannya.

“Tengok pada contoh Datuk Asri dulu. Dia ambil dua, negeri dan Parlimen tapi teruk tak jadi. Kalau tanya saya, memang saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan Menteri Besar mengambil Parlimen,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurutnya, beliau yakin selagi Timbalan Pesuruhjaya Pas itu dianggap masih memegang jawatan Menteri Besar, tidak sesuai untuk beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang.

“Bagi saya tidak boleh Mohammad Nizar sebagai MB Perak turut bertanding di kawasan lain.

“Ia seperti yang dilakukan bekas Presiden Pas dahulu, Allahyarham Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan Menteri Besar Kelantan. Dia seorang yang pintar dan berpengaruh dalam politik, tetapi pengaruhnya merosot selepas memegang kedua-dua jawatan,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V Arumugam yang meletak jawatan ADUN dan Exco, Nik Abdul Aziz berkata, tindakan itu dianggap sebagai seorang yang berprinsip.

Beliau berkata, Arumugam terpaksa buat demikian kerana diancam dan beliau turut menegaskan sebagai seseorang pemimpin sepatutnya Arumugam mempertahankan hak dan tidak lari walaupun diugut dengan pelbagai ancaman.

“Sepatutnya BN kena terima bila rakyat menolak BN. Sebab Malaysia bukan hak BN, hak rakyat,” katanya.

Nik Abdul Aziz turut bersetuju jika pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau itu diadakan secara serentak.

“Pilihan raya (ini) tanda sistem demokrasi. Kalau saya sihat saya akan pergi (berkempen). Tak apa, boleh diadakan kalau ia diadakan secara serentak. Tak jadi masalah,” katanya.

No comments:

have fun