KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mencadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula tahap keselamatan jalan raya berisiko berlaku kemalangan.
Menurut Nik Aziz, pihak berkaitan disarankan menjalankan penyelidikan dan pemantauan di lokasi berlaku kemalangan ngeri membabitkan 10 maut kelmarin di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat sini.
Nik Aziz berkata, pihak berkenaan perlu menjalankan sesuatu langkah penyelesaian di samping menjalankan kaedah pencegahan berlakunya kemalangan maut.
“Kita tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan sama ada pemandu kereta atau kenderaan serta sebaliknya sekiranya berlaku sesuatu kemalangan.
“Bagi saya nyawa lebih berharga daripada kenderaan, nyawa adalah nombor satu,” katanya kepada pemberita semalam ketika diminta mengulas berhubung kemalangan ngeri di Gua Musang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin, 10 terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan tiga kenderaan iaitu, Perodua Kancil, Kenari dan Nissan Murano.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian terbabit ialah, Hasliza Mat Zin (pemandu kancil), 33, Maziatul Shah Lia, 30, Mohd Rolizah Yuswa Abd Rahim, 12, Norashidah, 10, dan Nor Shasha, lima juga maut.
Selain itu, Law Sin Eik (pemandu Kenari), 60, Lee Ming Min, 15, Lau Chan Soom, 79, dan Hoo Kim Hum, 87, dipercayai satu keluarga berasal dari Pasir Mas juga terbunuh.
No comments:
Post a Comment