Friday, January 9, 2009
Kelantan tubuh tabung bantu rakyat Palestin - sinar harian
KOTA BHARU – Kerajaan negeri menubuhkan tabung khas bagi mengumpul dana membantu mangsa serangan dan kekejaman yang dilakukan Israel ke atas masyarakat Islam di Semenanjung Gaza.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, tabung itu bertujuan memungut sumbangan orang ramai bagi disalurkan kepada tabung khas dikenali Tabung Amanah Cakna Palestin.
“Kerajaan negeri telah merancang dan bersetuju untuk menubuhkan satu tabung bagi membantu mangsa-mangsa serangan Israel di Palestin.
“Selain mengumpul dana bagi rakyat Palestin, pada masa yang sama kerajaan berharap isu Palestin dapat menyatupadukan rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya, dekat sini semalam.
Beliau berkata, pelancaran tabung itu akan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 Januari ini.
“Kita berharap semua pihak dapat terlibat parti-parti politik dan NGO untuk menunjukkan kesepaduan dan kesepakatan rakyat Malaysia terutama rakyat Kelantan bagi membantah kekejaman yang dilakukan oleh Israel.
“Ia juga bertujuan menunjukkan solidariti kemanusiaan dengan rakan-rakan kita umat Palestin. Tabung itu bermula sekarang cuma pelancaran rasmi untuk menerima sumbangan itu akan dilancarkan oleh MB pada 24 Januari ini,” katanya.
Menurut Husam, usaha mengutip dana ini akan diusahakan bersama badan-badan bukan kerajaan.
“Beberapa jenis kempen seperti pameran kekejaman yang dilakukan Israel akan diadakan sepanjang tempoh tersebut. Kita berharap akan menyampaikan sumbangan pertama pada 25 Januari ini.
“Saya yakin masyarakat Kelantan pada umumnya telah faham tetapi kita berharap dengan pendedahan seperti itu meningkatkan semangat untuk bersama-sama melaksanakan tindakan yang lebih berkesan dengan memboikot sesetengah barang-barang yang berasal dari negara Yahudi dan Amerika yang menjadi negara bersekutu Yahudi,” katanya.
Beliau berkata, dengan cara itu sedikit sebanyak kita boleh memberi tekanan terhadap negara Amerika yang membantu Israel melaksanakan kekejaman yang dilakukan.
Katanya, antara program yang akan dilaksanakan sempena pelancaran misi itu ialah program ceramah perdana bagi menarik kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab membantu saudara sesama Muslim.
Selain itu, beliau berkata, satu pameran bergerak akan turut diadakan di seluruh negeri untuk memberikan gambaran dan maklumat lebih jelas ke arah menyedarkan masyarakat umum mengenai apa yang sedang berlaku di Palestin ketika ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment