Harga petrol patut lebih rendah: Guan Eng
PULAU PINANG - Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminta agar harga petrol diturunkan kepada RM1.42 seliter sejajar dengan harga pasaran minyak mentah dunia semasa yang berlegar sekitar RM157 satu tong (US$45).
Beliau berkata, keputusan kerajaan menurunkan harga petrol sebanyak 10 sen kepada RM1.80 mulai semalam tidak menunjukkan harga pasaran sebenar dan ia tidak memberi kesan besar kepada peningkatan pendapatan orang ramai.
“Pada 2005, harga minyak mentah dunia berada sekitar RM164 setong (US$47) dan harga petrol di Malaysia adalah RM1.42 seliter.
“Jadi perkiraan yang sama perlu diguna pakai dalam menentukan harga semasa petrol di negara ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Komtar di sini, semalam.
Menurutnya, kerajaan perlu menurunkan harga petrol sebanyak 48 sen dan bukan 10 sen seperti yang dilakukan itu.
Lim juga meminta kerajaan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya menurunkan tarif elektrik berikutan harga bahan api yang semakin menurun sejak kebelakangan ini.
“Harga petrol sudah diturunkan beberapa kali sehingga RM1.80 tetapi tarif elektrik masih kekal seolah-olah harga petrol masih RM2.60 seliter,” katanya.
Menurutnya, TNB menggunakan 60 peratus gas dan 40 peratus arang batu untuk menjana elektrik untuk keperluan pengguna.
“Harga gas menurun sedikit tetapi arang batu menurun lebih 50 peratus. Jadi TNB tidak mempunyai apa-apa lagi alasan untuk tidak menurunkan tarif elektrik,” katanya.
Lim berkata, jika TNB mampu membayar RM4 bilion setahun kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) untuk tenaga yang tidak digunakannya, ia juga harus mampu menurunkan tarif elektrik kerana ia digunakan oleh keseluruhan rakyat negara ini. - dpd SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment