Wednesday, December 17, 2008

Bimbang kolam air panas terjejas

Bimbang kolam air panas terjejas


SELAYANG – Pembangunan dan penerokaan yang kini giat dijalankan di sekeliling Kolam Air Panas Selayang, dekat jalan Persiaran Templer-Selayang, meresahkan penduduk setempat dan orang ramai yang bimbang terjejasnya ekosistem berhampiran.

Pengerusi Eksekutif Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Subahan Kamal berkata, dengan keadaan pokok-pokok yang sudah banyak ditebang dan dalam musim hujan kini, dikhuatiri sekiranya berlaku hakisan, berikutan terdapat tanah tinggi berhampiran kawasan kolam air panas.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, turut menimbulkan persoalan kini sama ada kawasan yang bakal dibangunkan dua buah kondominium yang hanya terletak terlalu hampir dengan kolam berkenaan akan ‘menamatkan’ satu lagi tempat pelancongan berasaskan alam semula jadi di Selangor.

“Perkara ini sudah pun dibawa dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri serta mendapat sokongan kerajaan negeri, melalui Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping yang bersetuju akan kepentingan memelihara anugerah bernilai berkenaan. Kita hairan bagaimana pembangunan berkenaan boleh mendapat kelulusan untuk tempat seperti ini yang sepatutnya dipelihara.

“Yang menjadi tanda tanya kini, apabila tempat ini dibangunkan, adakah orang ramai termasuk pelancong masih berpeluang mengunjungi kolam air panas? Seperti kita sedia maklum, ia menjadi tumpuan kerana khasiatnya. Sekarang kita difahamkan kawasan kolam memang tidak ‘diusik’. Tetapi nanti, kita tidak mahu berlaku seperti kolam air panas di Setapak, yang kini hanya boleh digunakan orang tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan turun padang ke kawasan berkenaan, yang turut disertai wakil MTPNS dan Jabatan Perancang, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.

Difahamkan, kawasan terlibat yang akan dibina kondominium, dengan seluas 7.2 hektar (terletak hanya bersebelahan gerai di kawasan kolam air panas), sudah dalam peringkat akhir sebelum memulakan projek.

Tanah seluas 1.38 hektar tanah di pekarangan hadapan kolam, dekat tempat letak kereta pula dikatakan masih dalam peringkat perbincangan untuk dimajukan.

Menurut Subahan, sekiranya kawasan kolam itu masih belum diserahkan kepada pemaju ataupun dimiliki pihak tertentu, beliau melalui Kementerian Pelancongan bercadang supaya ia dinaik taraf dan terus dimajukan berikutan potensinya sebagai salah sebuah pusat pelancongan.

Beliau yang turut khuatir dengan nasib peniaga yang kini menjalankan perniagaan seperti kedai makanan dan minuman di situ, bagaimanapun tidak menolak untuk mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua MPS, Zainal Abidin Azim mengenai perkara itu.

Terdahulu, wakil MPS yang turut serta dalam lawatan menyatakan kajian dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains sudah dilakukan sebelum perancangan pembangunan sejak 10 tahun lalu, supaya ia tidak menjejaskan sumber air panas, di situ.

Menurut wakil MPS, jaminan diberikan pemaju, untuk tidak mengganggu gugat alam semula jadi berkenaan. DPD SINAR HARIAN

No comments:

have fun