Nizar enggan letak jawatan Menteri Besar
IPOH - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih berpendapat dirinya adalah Menteri Besar (MB) yang sah walaupun Sultan Azlan Shah menitahkannya agar meletakkan jawatan.
Beliau yang ditemui selepas mengadakan mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat (PR) di sini, semalam berkata, beliau masih menyandang jawatan itu mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
Nizar telah dipanggil menghadap Sultan petang semalam dan kelihatan memasuki perkarangan Istana Kinta sekitar jam 12.45 tengah hari dan keluar pada jam 1.07 tengah hari.
Beliau sempat melampai kepada wartawan sambil berkata ‘petanda baik’.
“Saya telah sembahkan hujah-hujah saya dan meminta agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, bagaimanapun baginda berkata, BN kini mempunyai majoriti dan meminta saya memahami situasi ini dan menyuruh saya letak jawatan.
“Tetapi saya enggan kerana pemimpin PR juga sebulat suara meminta saya tidak meletak jawatan sehingga krisis sekarang diputuskan mahkamah atau DUN,” katanya.
Beliau juga bersetuju dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon menghadap Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak.
“Saya dan Anwar akan meminta menghadap Tuanku Sultan untuk bubar DUN atau mengadakan sidang khas untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan baru,” katanya.
Menjawab soalan wartawan adakan beliau akan kembali ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang kini dikawal ketat polis, beliau menjelaskan akan ke sana kerana masih menjadi MB Perak.
“Saya masih belum menerima apa-apa surat yang menyatakan saya bukannya MB,” katanya.
Manakala Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata, kuasa untuk membuat keputusan haruslah berada di tangan rakyat.
“Perkara ini adalah satu pencabulan terhadap perlembagaan negara. Saya harap rakyat Perak bertenang menghadapi situasi ini. Saya juga harap Nizar akan terus disokong sebagai MB Perak.
“Saya juga harap Najib tidak gelabah dan cuba mendapatkan kuasa dengan cara seperti ini,” katanya.
Terdahulu dalam tinjauan sekitar bangunan SUK, wartawan mendapati bangunan itu telah dikawal ketat oleh pihak polis.
Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelihatan memasuki Istana Kinta sekitar jam 5.48 petang dan keluar pada jam 6.25 petang yang mengukuhkan lagi andaian kerajaan BN akan mengambil kuasa pada bila-bila masa.
No comments:
Post a Comment