Tuesday, December 30, 2008

Azam tahun baru pemimpin politik - sinar harian

Mahfuz Omar- Ketua Penerangan Pas
Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berazam memberi kepimpinan yang lebih baik kepada parti di masa akan datang.

Menurutnya, beliau akan membantu membangunkan parti bagi menyerlahkan lagi keupayaan parti untuk memenuhi kehendak rakyat.

“Sebagai ahli Parlimen pula, saya akan memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat di samping memenuhi tuntutan yang dibuat oleh rakyat.

“Saya tahu banyak lagi janji kepada rakyat yang belum ditunaikan kerana bukan semua janji boleh dibuat dalam masa 10 bulan ataupun setahun kerana ia mengambil masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mahfuz berkata, beliau perlu menggariskan kembali apa yang harus diutamakan.

“Saya akan melanjutkan cadangan kepada kerajaan negeri supaya pihak mereka dapat melihat perancangan yang akan dibuat dan ia bergantung kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk meluluskannya,” katanya.

Menurutnya, dari segi konteks Pakatan Rakyat pula, beliau mahu melihat komponen parti itu lebih mantap pada masa depan.

“Saya akan berusaha memastikan pakatan rakyat lebih mantap dan lebih mementingkan persamaan yang mempertemukan semua parti dalam komponen Pakatan Rakyat.

“Apa yang penting supaya Pakatan Rakyat mempunyai perbezaan dari segi integriti dan ini perlu direalisasikan dan bukan hanya retorik semata-mata berbeza daripada Barisan Nasional,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau percaya dan yakin rakyat masih memberi sokongan padu terhadap Pakatan Rakyat terutama di negeri-negeri yang diperintah mereka.

“Saya akan menyampaikan kepada kerajaan negeri mengenai maklum balas rakyat dalam tinjauan yang dibuat,” katanya.


Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo- Bekas Menteri Besar Selangor
“Saya akan berusaha mendapatkan kembali Selangor, itu adalah azam yang dibuat bekas Menteri Besar Selangor,” Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Menurutnya, lebih banyak perbincangan akan dibuat dengan parti-parti komponen bagi menyusun strategi parti masing-masing untuk menguatkan semula parti komponen parti Barisan Nasional (BN).

“Kami akan memainkan peranan yang lebih agresif terutama untuk menuntut janji dalam manifesto pilihan raya lalu yang tidak dapat dilaksanakan oleh pihak pembangkang.

“Pihak pembangkang belum lagi menunaikan janji untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus seperti yang dijanjikan.

“Tahun depan BN akan memulakan gerakan menyedarkan semula rakyat supaya memilih parti komponen BN sebagai pemerintah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Tian Chua - Ketua Penerangan PKR
“Kita berharap ekonomi Negara bertambah baik supaya rakyat tidak susuh kerana kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bekerja lebih kuat untuk membantu rakyat pada tahun 2009 nanti.

“Perjuangan pada tahun lalu yang belum selesai kita akan bawa ke tahun hadapan supaya ianya dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan yang memerintah dapat membantu rakyat yang masih dalam keadaan susah akibat kegawatan ekonomi yang akan melanda.

No comments:

have fun